Pada era ini, dalam mengejar kemajuan dan pembentukan masyarakat yang progresif, pentadbir dan pembuat polisi cenderung untuk merancang demi masa depan yang selari dengan apa yang kita gambarkan sebagai simbol kejayaan dan kebanggaan.
Mereka terus bergerak ke depan, namun begitu, seringkali terdapat percanggahan terhadap perancangan dan pelaksanaan, indikasi dan target yang ditetapkan, dengan ketidakpastian tindak balas pelbagai faktor di dalam masyarakat tersebut. Implikasinya terhadap pentadbiran dan masyarakat boleh memberi kesan yang tidak boleh diramal dalam jangka masa yang panjang.
Kompleksiti dan ketidakpastian akan terus menjadi sebahagian dari perubahan zaman dan juga kepentingan pelbagai pihak. Ini termasuk inisiatif seperti agenda pentadbiran, polisi dan pelaksanaannya, inovasi dari luar dan dalam masyarakat itu sendiri dan sebagainya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk merungkai dan meneliti kekangan dan kontekstual tindakan-tindakan tersebut di dalam masyarakat.
Namun begitu, di sebalik kekusutan pelbagai situasi dan ketidakpastian, di situ juga keberadaan solusi dan kefahaman yang bernilai bagi mereka yang cuba mendalaminya. Ringkas kata, kemajuan dan halangan tersebut berada di dalam simpulan yang sama.
Berhadapan dengan ketidakpastian dan sistem kompleks ini memerlukan pendekatan yang adaptif terhadap perubahan semasa, penyelidikan yang berterusan, memahami perkembangan situasi sama ada yang jelas atau tersirat, dan juga menyelaraskan tindakan yang perlu dilakukan secara efektif.
Kompleksiti dalam konteks lokaliti
Perubahan dan kompleksiti sosio-demografi masyarakat juga boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti konteks sosial dan peribadi, pembawaan sejarah, kedudukan geografi, kegiatan sektor swasta, polisi kerajaan, tahap pencapaian ilmu dan akses kepada maklumat, dan juga keupayaan masyarakat itu sendiri.
Antro-kompleksiti mengambil kira pertimbangan manusia, kecerdasan sivik dan kolektif, serta agensi kajian aspek kemanusian didalam sistem adaptif yang kompleks. Pada masa yang sama, antro-kompleksiti boleh digunakan untuk memahami dunia yang kita diami dan mengambil tindakan di dalamnya, walaupun dalam keadaan yang tidak menentu, dengan mengikuti kaedah yang sesuai dengan kerumitan dan membolehkan sains semula jadi menentukan had dan sempadan keutuhan amalan seharian.
Pembangunan ilmu dalam bidang kompleksiti di Malaysia masih lagi belum di tahap arus perdana dan cukup dikenali. Kekangan sumber yang boleh diakses masyarakat dan pengamal yang terlatih juga menjadi faktor penting yang harus ditangani. Namun begitu, dengan perkembangan teknologi dan akses kepada internet yang semakin meluas, perubahan literasi masyarakat terhadap kajian-kajian ini diharap akan bertambah meningkat.
-Sofihans
RA